Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Ahad, 24 Mei. - Dalam usaha menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar negara melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, dan berakhlak mulia, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan usaha sama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menganjurkan Program Perkhemahan Husnul Khuluqi bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 21 hingga 24 Mei 2026 itu mengambil tempat di Perkampungan Sukan dan Padang Kawad, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, KKBS.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dayang Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, KHEU, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin serta para pegawai kanan daripada ketiga-tiga kementerian, para ibu bapa dan penjaga peserta-peserta perkhemahan.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Majlis, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.
Acara turut diserikan dengan tayangan video, ucapan wakil peserta dan kemudiannya penyampaian sijil kepada para peserta serta penerima anugerah khas yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.
Program Perkhemahan Husnul Khuluqi merupakan sebuah platform pembangunan sahsiah dan pemerkasaan pelajar yang dirangka khusus bagi membentuk peribadi muslim yang cemerlang, berakhlak mulia serta berteraskan nilai-nilai Islam.
Antara objektif utama program perkhemahan tersebut adalah bagi mendukung usaha ke arah pencapaian Matlamat 1 dan Matlamat 2 Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.
Selain untuk memastikan Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi; membentuk peribadi Muslim yang cemerlang melalui pendekatan tarbiah Islamiah; serta Membentuk jati diri remaja agar mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi tingkah laku berisiko.
Di samping itu ia juga bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan kesihatan fizikal dan mental, kemahiran hidup, serta langkah menghindari pengaruh negatif; dan meningkatkan potensi dan keyakinan diri dalam mengembangkan kemahiran sosial, komunikasi dan kepimpinan.
Program Perkhemahan Husnul Khuluqi Kali Kedua yang bertemakan 'Kesejahteraan Minda: Untukku dan Untukmu' ini dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada pendekatan tarbiah Islamiah secara holistik melalui pelbagai aktiviti pembangunan rohani, pembinaan jati diri dan pengukuhan sahsiah dalam kalangan peserta bagi meningkatkan potensi remaja, khususnya dalam membina keyakinan diri serta memperkembangkan kemahiran sosial, komunikasi dan kepimpinan.
Sehubungan itu, bagi meraikan seramai 40 pelajar dari persekolahan arab dan ugama yang menyertai perkhemahan tersebut, Majlis Penutup Program Perkhemahan Husnul Khuluqi diadakan petang tadi di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Kampung Pulaie.
Program ini adalah anjuran bersama Jabatan Pengajian Islam, KHEU; Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; dan Jabatan Belia dan Sukan, KKBS dengan sokongan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan.